Selasa, 3 April 2012

Kisah Sejarah Ikan Sebelah (Samak Musa @ Ikan Musa)

Sesiapa yang menuntut ilmu jampi serapah, tentu pernah mendengar bomoh dan pawang menyebut ‘mambang hijau’ dan “Pusat Tasik Paun Janggi’ dalam jampi mereka, iaitu“ …hai, mambang hijau yang jaga lautan Pusat Tasik Pauh Janggi …” Mambang hijau, ialah Nabi Hidir dan Pusat Tasik Pauh Janggi, ialah Segi Tiga di Bermuda.

Ada sejenis ikan, iaitu ikan sebelah. Boleh buat kuah laksa. Orang Arab menamakan ikan itu, ‘samak Musa’ (ikan Musa), iaitu ikan Nabi Musa. Ikan itu ada kaitan dengan kisah dalam Quran berikut ini.

Kisah ini boleh menjadi pengajaran dan mengubah hati setiap orang yang rasa dirinya lebih pandai dari orang lain. Berbangga dengan ijazah bergulung-gulung atau mempunyai kuasa memandang orang lain jahil dan lemah.


Sesungguhnya manusia itu bertindak melanggar batas. Disebabkan dia melihat dirinya serba cukup.

(Al Alaq: 6,7).

Berpandu pada ayat - ayat Quran berikut ini dan pendapat para ulama, bahawa Nabi Hidir dikurniakan oleh Tuhan ilmu ‘ladunni’ (pengetahuan luar biasa dan ilham dari Tuhan).

Sebuah Hadis Nabi Muhammad s.a.w. ,diriwayatkan oleh Imam Bukhari, iaitu pada ketika Nabi Musa a.s. berucap kepada orang-orangnya, seorang dari mereka bertanya: “Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih pengetahuannya daripada Tuan?”. Nabi Musa menjawab: “Tidak ada.”. Allah telah menegur Nabi Musa kerana dia tidak merujukkan soalan itu kepada Allah. Dan Allah telah menerangkan: Ada seorang hambaku yang lebih ilmunya daripada kamu. Orang itu dapat ditemui di tepi pantai, berhampiran dengan tempat pertemuan dua laut (mungkin Nil Biru dengan Nil Putih atau jernih). Kemudian Allah telah mengarahkan Nabi Musa membawa bekalan ikan dalam sebuah bakul. Ditempat ikan itu hidup semula dan masuk ke laut, maka, di situlah tempat pertemuan Nabi Musa dengan Nabi Hidir.

Pada ketika Musa berkata kepada pemuda (pekerja atau temannya, Jusya bin Nun. Setelah Nabi Musa wafat, Jusya telah menjadi khalifah dan memerintah berdasarkan agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Musa): Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua batang sungai atau aku akan berjalan bertahun-tahun.

Maka apabila mereka tiba di tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan ikan (yang mereka bawa), lalu ikan itu mengelunsur mengikut jalannya ke laut, iaitu lubang di bawah tanah.

Pertemuan dua laut dalam firman tuhan di atas, ada dua pendapat, 1 – Mungkin laut itu sungai Nil Biru dan sungai Nil Putih jernih, atau 2 – Cabang dari Laut Merah, iaitu Teluk Aqabah dan Teluk Suwais (Suez).


Nabi Muhammad s.a.w.telah menjelaskan dalam Hadisnya: Nabi Musa dan pemuda itu telah berjalan dan sampai kepada batu besar tepi laut. Mereka telah memakan ikan itu pada bahagian sebelah badannya. (kerana kepenatan) mereka telah tidur. Pada waktu itu baki ikan dalam bakul mereka telah mengelunsur masuk ke laut. Setelah mereka bangun, teman Nabi Musa terlupa akan ikan itu (Nabi Musa juga lupa bertanya kepada temannya itu tentang ikan tersebut). Mereka telah meneruskan perjalanan sepanjang hari dan malam.

(Perawi: Imam Bukhari).

Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.:

Setelah mereka melepasi tempat (batu besar) itu, Nabi Musa telah berkata kepada pemuda (teman)nya: Bawalah makanan (ikan) tengah hari kita, sebenarnya kita telah penat dalam perjalanan kita ini.

Teman Nabi Musa telah berkata: Tahukah, apa telah terjadi pada kita, pada ketika kita berehat atas batu besar itu? Sebenarnya aku telah lupakan ikan itu; dan tidak ada yang menyebabkan aku lupa dari meyebut halnya (ikan) kepada kamu melainkan (kerana) syaitan, dan ikan itu telah mengelunsur mengikut jalannya ke laut dengan cara yang menakjubkan.

Nabi Musa telah berkata: Itulah yang kita kehendaki (perihal ikan hidup semula dan mengelunsur ke dalam laut dan Nabi Musa telah mengetahui di situlah tempat akan berlakukan pertemuannya dengan Nabi Hidir). Mereka pun berpatah balik semula ke situ (kepada batu besar itu), dengan menurut jejak mereka.

Lalu mereka mendapati seorang dari hamba-hamba Kami (Nabi Hidir) yang Kami telah kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya ladunni dari Kami.

Nabi Musa telah berkata kepadanya (Nabi Hidir): “Bolehkah aku mengikuti kamu dengan syarat kamu mengajar aku dari ilmu yang telah diajarkan oleh Allah kepada kamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagi aku?

Hadis Nabi Muhamamad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Setelah Nabi Musa memberi salam dan mengenalkan dirinya kepada Nabi Hidir, dia memberitahu akan hajatnya untuk menuntut pengetahuan yang dikurniakan Allah kepada Nabi Hidir. Nabi Hidir telah menjawab salam Nabi Muda dan berkata: “ Tidak cukupkah dengan kitab Taurat yang ada di tangan kamu dan wahyu yang sering diturunkan Allah kepada kamu, hai Musa? Sebenarnya ilmu yang ada padaku tidak boleh kamu mengetahuinya dan ilmu yang ada pada kamu tidak boleh aku mengetahuinya.

Sesungguhnya kamu (Nabi Musa), tidak akan dapat bersabar bersama aku. Dan Bagaimana kamu akan sabar terhadap perkara yang kamu tidak mengetahuinya secara menyeluruh

Nabi Hidir telah memberitahu kepada Nabi Musa, bahawa Nabi Musa tidak akan sabar, bahkan akan membantah apabila melihat perkara-perkara ganjil yang akan dilakukan olehnya. Pada hakikatnya Nabi Musa tidak mengetahui.


Nabi Musa telah berkata: Kamu akan mendapati aku, insya Allah, orang yang sabar dan aku tidak akan membantah sebarang perintah kamu. Ia (Nabi Hidir) telah berkata: Sekiranya kamu mengikuti aku, maka jangan kamu bertanya kepada aku akan sesuatu pun sehingga aku memberitahu halnya kepada kamu.

Mereka berdua berjalan (di pesisir pantai) hingga bila mereka menumpang sebuah perahu, dia (Nabi Hidir) membocorkannya. Nabi Musa telah bertanya, patutkah kamu membocorkannya sedangkan akibat perbuatan (kamu) itu menenggelamkan penumpang-penumpang? Sesungguh kamu telah melakukan satu perkara (salah) yang besar.

Dia (Nabi Hidir) menjawab: Bukankah aku telah katakan, bahawa kamu tidak sekali-kali akan bersabar bersama aku?

Nabi Musa berkata: Janganlah kamu marahkan aku disebabkan aku terlupa (akan syarat kamu) dan jangan kamu membebankan aku dengan sebarang kesukaran dan urusan (menuntut ilmu).

Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda, lalu dia (Nabi Hidir) membunuhnya. Nabi Musa telah berkata: Patutkah kamu membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa (kerana) membunuh orang? Sesungguhnya kamu telah melakukan perbuatan yang mungkar.

Dia (Nabi Hidr) menjawab: Bukankah aku telah katakan kepada kamu, bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersama aku?.

Nabi Musa telah berkata: Jika aku bertanya kepada kamu tentang sebarang perkara kemudian ini, maka janganlah kamu jadikan aku hamba kamu lagi. Sesungguhnya kamu telah cukup mendapat alasan melakukan demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahan aku.

Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk-penduduk sebuah pekan, mereka telah meminta makanan dari orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka mendapati di situ ada sebuah tembok yang akan roboh, lalu dia membinanya. Nabi Musa telah berkata: Jika kamu mahu, tentu kamu berhak mengambil upah mengenainya.

Nabi Hidir menjawab: Inilah masanya perpisahan antara aku dengan kamu, aku akan terangkan kepada kamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang kamu tidak dapat bersabar mengenainya.

Adapun perahu itu dimiliki oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada raja yang akan merampas tiap-tiap perahu yang tidak cacat.

Ada pun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang, dia akan memaksa mereka melakukan perbuatan yang kufur.

Oleh itu, kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya (pemuda itu) tentang kebersihan jiwa dan lebih mesra kasih sayangnya.

Ada pun tembok itu pula, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di pekan itu dan di bawahnya ada ‘harta terpendam’ kepunyaan mereka dan bapa mereka pula orang yang soleh. Maka Tuhan kamu mengendaki; apabila mereka telah cukup umur dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhan kamu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya mengikut fikiran aku sendiri (iaitu dengan perintah Allah). Demikianlah penjelasan tentang tujuan perkara-perkara yang kamu tidak dapat bersabar mengenainya.

(Al Kahf: 60 - 82)

Demikian Allah mengajar manusia tentang pengetahuan yang ada pada manusia. Di antara seorang dengan seorang ada kelebihan ilmu pengetahuan. Oleh itu manusia tidak boleh membanggakan dirinya lebih pandai kerana manusia lain pun lebih pandai juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan